Tidur di luar bersama anjing, dimarahi, dipukul serta tidak diberi makan, amah Indonesia disahkan meninggal dunia

0
292

BUKIT MERTAJAM – Pembantu rumah warga Indonesia yang didera majikannya sebelum diselamatkan polis disahkan telah meninggal dunia.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari.

Ketika ditemui, dia mengalami kecederaan di kepala dan muka serta cedera di kedua-dua kakinya setelah didera oleh majikannya dekat Taman Kota Permai, di sini.

Nasib malang yang menimpa wanita itu berakhir apabila dia diselamatkan pihak berkuasa hasil maklumat orang awam termasuk jiran di kawasan itu.

Mangsa yang ditugaskan menjaga ibu majikan itu, ditemui dengan kesan lebam di kepala serta pelbagai kecederaan lain di tangan dan kedua-dua kaki.

Penduduk di situ berkata mangsa yang hanya dikenali dengan panggilan Adelina, 21, dibiarkan tidur di lantai luar rumah depan dengan hanya beralaskan tikar buruk.

Penduduk di situ cuba bercakap dengan seorang wanita berusia 60-an yang dipercayai ibu kepada majikannya yang berada di dalam rumah dan memberitahu mahu membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital.

Wanita berkenaan kemudian memarahi kami dan meminta kami agar tidak mencampuri urusan keluarga mereka.

Apabila ditanya mengenai kecederaan yang dialami mangsa, majikan tersebut memberitahu bahawa ia adalah kesan bahan kimia yang digunakan pembantu rumah itu untuk membersihkan saluran paip rumah yang tersumbat.

Hasil maklumat yang dikumpul termasuk daripada penduduk di situ mendapati mangsa sering dimarahi majikannya hingga lewat malam dan kadangkala dipaksa tidur di luar hanya dengan mengenakan baju dalam dan seluar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya sudah menahan dua beradik yang juga suspek berusia 36 dan 39 tahun bagi tujuan siasatan.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat mangsa bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Berita Harian

Era Baru