Anak-anak bergaduh, orang tua pula yang panas hati sehingga sanggup acu pedang samurai kepada jiran!

0
123

DUNGUN – Kerana anak-anak bergaduh, orang tua turut terpalit dalam pertelingkahan yang berlaku di sebuah taman perumahan di Paka, Terengganu sehingga melibatkan senjata pedang samurai.

Insiden yang dipercayai berlaku pada petang Sabtu itu (10 Februari 2018) telah dirakamkan dalam sebuah video dan disebarkan secara meluas ke media sosial.

Kejadian ini turut dikatakan berpunca daripada pertengkaran mulut sesama jiran di kawasan perumahan terbabit. Menerusi rakaman video ini, dilihat bapa kepada dua kanak-kanak perempuan tampil berdepan dengan pengadu yang merekodkan video dan kedua-duanya dilihat saling bertelagah.

Namun tidak lama kemudian, pertelingkahan ini menjadi semakin parah dan tegang apabila dua kanak-kanak perempuan tersebut bertindak biadap dengan memperlekehkan pengadu dan seorang wanita tua dipercayai ibu kepada pengadu.

Video turut menunjukkan bagaimana salah seorang kanak-kanak perempuan terbabit cuba menyerang seorang budak lelaki sebelum dihalang oleh ibu pengadu.

Lantaran itu, isteri kepada lelaki berkenaan yang juga ibu kepada kanak-kanak perempuan terbabit bertindak keluar dari rumah sambil mengacukan pedang samurai ke arah ibu pengadu sebelum dihalang oleh suaminya.

Mereka sekeluarga kemudian mula beredar tetapi kedua-dua kanak-kanak perempuan tersebut masih memperlekehkan dan mengejek keluarga pengadu dan tindakan ini jelas membuktikan sikap tidak menghormati orang tua dalam diri mereka.

Penularan video ini di Facebook ternyata mendapat kecaman besar daripada netizen yang menganggap kejadian tersebut sebagai perilaku ibu bapa yang memalukan! Malah, netizen turut mengkritik serta mempersoalkan tentang cara ibu bapa mendidik kedua-dua anak gadis tersebut yang ternyata berkelakuan tidak senonoh dan biadap!

Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah menyatakan bahawa satu laporan polis telah dibuat berkenaan insiden tersebut. Selain itu, pihaknya turut bertindak merampas senjata terbabit yang digunakan sebagai ugutan dalam pergaduhan itu.

“Ekoran daripada video yang ditularkan di Facebook, perbalahan mulut antara dua keluarga berpunca daripada pergaduhan anak-anak. Pada pukul 4 petang Ahad, seorang lelaki bertindak menyerahkan sebilah pedang di Balai Polis Paka, Dungun”.

BH Online

Tambah Baharudin lagi, mereka yang terlibat telah dipanggil ke balai polis bagi memberikan keterangan masing-masing.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM2,000.

Sementara itu, menurut pakar psikologi, Prof. Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub, kelemahan semangat kejiranan di samping kewujudan unsur ugutan yang melibatkan penggunaan senjata menunjukkan betapa rendahnya tahap keselamatan di kawasan perumahan tersebut.

Academia

“Kejadian mungkin disebabkan ibu bapa berkenaan yang sudah lama tidak berpuas hati dengan jirannya yang telah dipendam sekian lama. Masalah antara anak-anak ini mungkin kecil tetapi dibesarkan oleh sikap ibu bapa”.

Mengulas mengenai insiden berkenaan, Dr Rohaty menyatakan, “Sekarang ini banyak ahli kejiranan suka bergosip serta mengumpat dan dikenali sebagai makcik bawang. Perbuatan ini seumpama mengadu domba yang boleh menghancurkan keharmonian kejiranan”.

Tambah Dr Rohaty lagi, seluruh kejiranan perlu memainkan peranan penting bagi mengeratkan kembali semangat jawatankuasa dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai isu penduduk.

Di samping itu, beliau turut sempat memberi peringatan kepada mereka supaya berbalik semula kepada hadis dan sunnah kerana perbuatan hasad dengki dan mengumpat ini adalah sesuatu yang mengaibkan!

Tonton video di bawah:

Sumber: BH OnlineAstro Awani

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru