Bangunan KWSP di Jalan Gasing dijilat api

0
100

KUALA LUMPUR: Satu kebakaran dilaporkan berlaku di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Jalan Gasing, Petaling Jaya sekitar jam 11.56 pagi tadi.

Menurut laporan Astro Awani, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 11.53 pagi. Pihak bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam api pada kira-kira 12 tengah hari.

Laporan awal pihak Bomba setakat 1 petang menyatakan bahawa 40 peratus bangunan terjejas dalam kebakaran tersebut. Pihak JBPM masih tidak dapat mengenal pasti jika ada kemalangan jiwa atau tidak.

Kenyataan media dari Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP telah dikeluarkan pada jam 1.30 petang, menyatakan bahawa cawangan dan pejabat Petaling Jaya itu ditutup buat sementara waktu.

“Pasukan Pengurusan Krisis Cawangan sedang bekerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang akan memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar. Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengungsian bangunan telah dilakukan dan pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup.

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas. Kami akan sentiasa memantau situasi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan setelah operasi cawangan dibuka semula,” kata kenyataan itu.


Era Baru